<a href="">MD Bachok Flash Banner"</a>
Uniknya Wajah Kampung Balai

BACHOK 11 Nov. - Berada di tengah-tengah persekitaran alam dan budaya masyarakat Melayu tradisi dan dalam suasana harmoni. Apa yang membezakan mereka hanyalah dari segi kepercayaan dan ini diperlihat dengan kewujudan wat dan tokong.

Mereka adalah komuniti kecil masyarakat Siam dan 'Cina Kampung' di Kampung Balai di pesisir pantai, kira-kira tiga kilometer dari bandar Bachok, diapit oleh kampung Golok dan Kemasin yang majoritinya Melayu.

Masyarakat Siam dikatakan mula menetap di kampung ini sejak kira-kira 200 tahun lalu, meneroka kawasan yang tidak berpenghuni dan nama Bachok juga dikatakan berasal dari gabungan bahasa Siam iaitu ban (kampung) dan chak (Nipah).

Kebanyakannya bertani dan dianggarkan kini terdapat kira-kira 500 orang penduduk, separuh daripadanya masyarakat Siam dan selebihnya Cina Kampung, gambaran yang berlaku banyak perkahwinan campur antara dua kaum tersebut. Gabungan dua budaya ini pula diasimilasikan dengan budaya masyarakat Melayu dari kampung-kampung yang berhampiran apabila dilihat dari aspek pemakaian, pemakanan, hiburan malah pemikiran termasuk soal berpolitik. Mereka petah bertutur dalam loghat Kelantan, malah pengaruh pertuturan itu mudah pula membezakan mereka sehingga ada yang menggelarkan mereka sebagai Cina atau Siam Kelantan.

Penyelia Pembangunan Mukim (PPM) Kampung Balai, Ku Cheng Kim, 64, berkata penduduk dua kaum ini merupakan generasi kesembilan yang menetap di sini, mewarisi peninggalan nenek moyang mereka. 'Balai' katanya membawa maksud dewan di mana ia menjadi tempat Siam Thai berkumpul untuk melakukan aktiviti masyarakat dan menyambut perayaan. Namun dalam bahasa Thai pula 'Balai' adalah 'bunga kampung' atau penempatan yang subur'.

Halaman: 1  2  3