KOTA BHARU 20 Mac - Kerajaan negeri meneruskan tradisi mengadakan Pesta Flora Kelantan 2009 bermula 31 Mac hingga 11 April ini sempena Sambutan Hari Keputeraan Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra yang ke-59.Pesta Flora yang akan diadakan di Taman Orkid Tengku Anis, Jalan Padang Tembak, dekat Pengkalan Chepa terbuka kepada orang ramai bermula pukul 10 pagi sehingga 11 malam.
Ketua Penolong Setiausaha (Kerajaan Tempatan), Ahmad Robert Abd. Rahim berkata, pembukaan pesta flora itu akan disempurnakan oleh Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid pada pukul 8.30 pagi, 31 Mac ini.
Beliau berkata, tema pesta flora yang dipilih pada tahun ini ialah Warna Warni Keaslian Seni bagi menggambarkan keindahan seni budaya masyarakat Melayu yang sememangnya terkenal sejak zaman berzaman lalu. Keaslian seni ini juga merupakan kriteria utama dalam setiap pertandingan pada pesta flora pada tahun ini.
Antara acara utama yang diperkenalkan pada tahun ini adalah perarakan kereta berhias flora yang melibatkan 10 buah kereta dari seluruh jajahan di negeri ini," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini. Ahmad Robert berkata, antara acara lain yang turut dianjurkan sepanjang 12 hari itu ialah pertandingan landskap yang bertemakan Edible Garden dan disertai semua pihak berkuasa tempatan di negeri ini.
Katanya, pertandingan landskap ini sememangnya memerlukan ketelitian, daya, kreativiti dan kemahiran yang tinggi untuk menghasilkan persembahan yang terbaik. Pertandingan bunga khas semestinya menjadi acara penting dalam pesta flora pada tahun ini dan bunga kacang telang atau lebih dikenali sebagai bunga nasi kerabu hitam dijadikan sebagai ikon pertandingan,'' katanya lagi.
Menurutnya, bagi pertandingan orkid, penyertaan pada tahun ini akan dibuka kepada semua peserta dari dalam mahu pun luar Kelantan. Katanya, pada pesta ini juga, anugerah Raja Orkid Piala Tengku Anis juga diperkenalkan sebagai penghargaan kepada pemenang keseluruhan pertandingan bunga orkid. Begitu juga katanya, acara lain yang dijangka menarik perhatian umum termasuklah pertandingan memancing, terrarium (acara baru), topiari, model landskap, gubahan bunga dan cabutan bertuah. Saya berharap pesta flora yang diadakan ini akan menjadi titik tolak kepada pembudayaan kecintaan terhadap alam semula jadi di negeri Tanah Serendah Sekebun Bunga ini,'' ujarnya lagi.