RKK disediakan bagi tujuan menyegerakan satu rancangan pemajuan terperinci yang bercorak tempatan dan bagi kawasan yang mempunyai kepentingan khusus. Dalam menentukan pemilihan kawasan untuk penyediaan RKK, perlu diberi pertimbangan kepada dua (2) faktor iaitu kepentingan kawasan dan saiz kawasan RKK. Umumnya saiz keluasan RKK perlulah bersesuaian dan mudah urus (manageable), tertakluk kepada keperluan pihak berkuasa berkenaan. Sebagai panduan, dicadangkan saiz kawasan RKK yang melibatkan kawasan pembangunan / kawasan tepubina adalah tidak melebihi 100 hektar.
Keluasan Dan Lokasi
Kawasan yang tertakluk di bawah RKK Jelawat adalah berkeluasan 100.41 hektar (248.12 ekar). Ia terletak di bahagian selatan Daerah Bachok iaitu di dalam kawasan Gunong Timur, merangkumi tiga mukim iaitu Mukim Pekan Jelawat, sebahagian Mukim Bator dan Mukim Rusa. Kawasan kajian adalah di bawah pentadbiran Majlis Daerah Bachok (MDB).
Profil Penduduk
Jumlah penduduk semasa kawasan RKK dianggarkan seramai 2,300 orang. Penduduk bumiputera merupakan majoriti kaum yang mendiami kawasan RKK. Jumlah isirumah yang dianggarkan seramai 5.3 orang bagi setiap unit rumah kediaman berdasarkan Rancangan Struktur Bachok. Berdasarkan semakan gunatanah, didapati taburan bangunan dan rumah-rumah kediaman sediada adalah secara berselerak dan kebanyakannya tertumpu di Mukim Pekan Jelawat berbanding Mukim Rusa dan Mukim Bator.